ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran dua rumah di Jalan Kampung Besut, Tumpat, hari ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran dua rumah di Jalan Kampung Besut, Tumpat, hari ini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris


Tumpat: "Sebaik melihat asap tebal dan beberapa letupan kecil dari rumah sebelah, saya mengheret tangan kedua-dua anak turun menyelamatkan diri," kata Mohd Zahari Seman.

Mohd Zahari, 35, berkata, ketika kebakaran pada 6.40 petang hari ini, di Jalan Kampung Besut, di sini, dia dan dua anak lelakinya berusia lapan dan 10 tahun berada di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kecil.

Menurutnya, dia berasa tidak sedap hati lalu segera membuka pintu bahagian dapur rumahnya sebelum terkejut melihat asap tebal keluar dari celah dinding rumah jirannya.

"Selepas membawa dua anak keluar, saya masuk semula ke dalam rumah dan sempat mencapai beberapa dokumen penting dan bergegas melarikan motosikal di halaman rumah.

"Api merebak dengan pantas berikutan rumah berstruktur kayu dan dalam masa singkat sahaja, rumah sewa yang kami diami sejak dua bulan ini hangus," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kebakaran itu menyebabkan dua rumah kayu hangus 100 peratus.

Seorang lagi mangsa, Nawawi Rejab, 62, hanya mampu melihat rumah sewanya terbakar tanpa mampu berbuat apa-apa.

Dia ke luar rumah untuk menunaikan solat Asar di masjid berhampiran sebelum singgah di pasar malam dihubungi adiknya yang memberitahu rumahnya sedang terbakar.

"Sebaik tiba, saya nampak asap hitam dan api sedang marak sehingga terpaku sambil beristighfar dalam hati.

"Memang dalam rumah tiada barangan berharga kecuali beberapa barang elektrik selain dua basikal yang saya gunakan setiap hari," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.46 petang dan seramai 14 pegawai serta anggota bergegas ke lokasi.

"Anggota terbabit dari BBP Tumpat serta Pengkalan Kubor dan sebaik tiba, kami dapati api marak membakar dua rumah kayu dipercayai sudah berusia lebih separuh abad.

"Api dapat dikawal kira-kira 20 minit kemudian dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 10:43 PM