WISMA Putra. FOTO Arkib NSTP
WISMA Putra. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerajaan Negeri Johor akan segera berhubung dengan pihak Kementerian Luar Negeri (MOFA) atau Wisma Putra yang bertanggungjawab dalam urusan membawa pulang warganegara Malaysia yang terkandas di mana-mana negara menerusi pihak kedutaan yang dilantik di negara berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata isu peluang pekerjaan terhadap anak muda sememangnya menjadi keutamaan.

Katanya apatah lagi dalam konteks isu yang membabitkan belia dan Anak Johor yang ditipu sindiket pekerjaan luar.

"Pada masa sama, Kerajaan Negeri Johor juga akan merujuk perkara ini kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia berikutan membabitkan elemen jenayah penipuan sindiket pekerjaan terancang yang membabitkan warganegara Malaysia.

"Urusan membawa pulang warganegara Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Wisma Putra dan Kerajaan Negeri Johor tidak mempunyai kuasa penuh dalam soal urusan membawa pulang warganegara Malaysia.

"Namun Kerajaan negeri Johor tetap peka dan cakna dalam mendepani pelbagai isu semasa serta kebajikan khususnya buat Bangsa Johor.

"Kita yakin MOFA sentiasa komited dalam memastikan kebajikan warganegara Malaysia diberi keutamaan. Bagaimanapun, urusan untuk membawa mereka pulang masih tertakluk kepada peraturan negara yang terbabit," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu tular satu video di TikTok yang tersebar bertajuk "Rayuan Anak Johor untuk Diselamatkan" membabitkan tujuh individu yang mendakwa Anak Johor ditipu sindiket pekerjaan di negara Kemboja.

Di dalam video berdurasi 58 saat itu juga, individu yang mewakili kumpulan berkenaan turut mendakwa terkandas, dipaksa serta diugut untuk bekerja oleh sindiket berkenaan selain merayu kepada Kerajaan Negeri Johor untuk membantu mereka pulang ke Tanah Air.

Dalam video itu turut menyatakan mereka keluar dari lokasi terbabit tanpa membawa sebarang dokumen dan wang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 3:05 PM