LOW (kanan) bersama seorang daripada keluarga mangsa pemerdagangan manusia menunjukkan lokasi terkini anak saudaranya. FOTO Bernama
LOW (kanan) bersama seorang daripada keluarga mangsa pemerdagangan manusia menunjukkan lokasi terkini anak saudaranya. FOTO Bernama
BERNAMA

Ipoh: Pemuda orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran yang mahu dikenali sebagai Ah Choong, 22, yang terkandas di Myanmar sejak Disember lalu akibat ditipu sindiket pekerjaan di media sosial yang menjanjikan gaji lumayan, merayu kepada kerajaan agar diselamatkan dengan segera.

Bapa saudara mangsa yang mahu dikenali sebagai Ah Lee, 48, berkata, dia mula menyedari mengenai kejadian itu selepas menerima notifikasi transaksi yang tidak kenali sebanyak 55 kali pada telefon miliknya sebanyak RM90,104 ke dalam akaun bank anak buahnya dalam masa dua hari yang disyaki disalahgunakan oleh sindiket penipuan pada 27 April lalu.

"Sejak pertengahan Mac lalu, kami mengambil maklum mengenai kehilangan Ah Choong dari Ipoh bersama teman wanitanya yang menetap di Kedah sehinggalah saya berjaya menghubunginya minggu lalu dan dia meminta wang pampasan untuk kembali pulang ke Malaysia," katanya pada sidang media bersama ahli keluarga mangsa pemerdagangan manusia di Bangunan MCA Perak di sini hari ini.

Menurutnya, demi mengambil langkah bertanggungjawab, dia memegang pasport milik anak saudaranya itu agar tidak hilang atau disalahgunakan oleh orang lain namun ejen syarikat bertindak membuat laporan polis mengenai kehilangan pasport mangsa untuk menggantikan yang baharu lalu membawanya ke Myanmar.

"Dia memaklumkan kad bank miliknya dirampas dan dia dipukul sebelum dibawa menaiki pesawat ke negara itu untuk bekerja dengan bayaran kira-kira AS$7,000 setiap bulan, namun dimaklumkan bakal dipindahkan ke syarikat lain kerana tugasnya sebagai khidmat pelanggan tidak begitu baik," kata Ah Lee dan menambah telah membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh di sini Rabu lalu supaya mangsa dapat diselamatkan pihak berkuasa.

Sementara itu, seorang lagi mangsa pemerdagangan manusia yang hanya ingin dikenali sebagai Ah Meng, 32, yang dihubungi melalui Facebook berkata, dia terkandas di Kemboja sejak lima bulan lalu selepas dijanjikan pekerjaan sebagai pekerja judi (kasino) tetapi malangnya diupah untuk menjadi penipu dalam talian.

"Saya ditempatkan bersama tujuh orang mangsa warga China dan Thailand dalam satu bilik. Saya amat takut kerana tidak mempunyai wang sebanyak AS$13,000 sebagai pampasan untuk pulang ke tanah air," katanya ketika dihubungi bapanya dari MCA Perak secara panggilan video menerusi Facebook.

Sementara itu, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Madam Lee, 60, turut memohon agar kerajaan membantu membawa pulang anak sulungnya, Ah Kit, 34, (bukan nama sebenar) ke tanah air selepas didapati hilang sejak Februari lalu dan dikesan menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Bangkok, Thailand.

"Sebelum ini anak lelaki saya itu bekerja di Kuala Lumpur sebagai pelayan dan sering menghantar wang belanja kepada saya di sini namun kini, saya hanya boleh berhubung dengannya melalui aplikasi Messenger di Facebook dan dikawal oleh pihak sindiket," katanya sambil menambah laporan polis telah dibuat oleh ahli keluarga di Balai Polis Pekan Baru di sini pada 29 Mac lepas.

Dalam pada itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak Low Guo Nan berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) harus memandang isu ini dengan amat serius kerana masalah penipuan tawaran peluang pekerjaan dilihat semakin menjadi-jadi pada masa kini.

"MCMC perlu memastikan hantaran iklan pekerjaan sebegini di media sosial ditapis dan dipadam agar dapat mengurangkan kejadian pemerdagangan manusia berulang dan menjerat lebih banyak mangsa. Saya percaya kes pemerdagangan manusia didalangi sindiket tempatan," tambahnya.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya sedang melakukan semakan ke atas laporan yang dibuat oleh keluarga mangsa untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 7:03 PM