DR Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat GTA di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat GTA di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Oleh Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pengerusi penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau masih belum nyanyuk seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Ditanya mengenai ramai pihak yang memintanya bersara daripada politik pada usianya yang hampir mencecah 100 tahun, Dr Mahathir berkata, beliau masih lagi berupaya menjawab setiap soalan yang diutarakan kepadanya.

"Saya ni nampak nyanyuk? Saya boleh jawab ke tidak soalan awak? Soalan orang lain?

"Ya lah memang orang umur 97 tahun biasanya nyanyuk lah. Tetapi ada awak lihat saya (begitu)?" katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Dr Mahathir menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-97 pada Julai lalu.

Minggu lalu, Dr Mahathir dilaporkan mengesahkan bakal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau juga dilaporkan berkata, GTA juga tidak menetapkan calon Perdana Menteri untuk GTA.

Sebelum ini, Dr Mahathir menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan cadangan bertanding dalam PRU-15 bagi mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi.

Beliau yang juga Pengerusi Pejuang bagaimanapun berkata, ketika ini partinya sudah mempunyai beberapa nama calon untuk dipertaruhkan di kawasan itu.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, musuh utama GTA adalah Umno.

Beliau berkata, Umno memenangi PRU-15, lebih banyak kerosakan akan dilakukan.

"Kita bermusuh dengan Umno kerana kalau menang akan rosak habis negara kita.

"Kita sudah tahu latar belakang Umno. Masa mereka jadi kerajaan bawah Najib (Datuk Seri Najib Razak) dan Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang rosak Umno, negara dan rosak rakyat," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pula akan menyebabkan GTA kehilangan undi Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 6:54 PM