Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
Hamzah Osman

Langkawi: Tun Dr Mahathir Mohamad minta Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan bukti berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri itu meminta parti itu dibubarkan.

Beliau berkata, Ahmad Zahid sering mengeluarkan berbagai dakwaan tetapi tidak dapat memberikan sebarang bukti bagi mengukuhkan sebarang dakwaan yang dibuatnya.

"Apa bukti dia (Zahid) yang kata saya macam itu (meminta membubarkan Umno)?

"Dia boleh cerita macam-macam, benda kita cakap kena tunjuk bukti, sepatutnya kita bercakap macam itu," katanya ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama pengusaha feri Langkawi di sini, malam tadi.

Selasa lalu, Ahmad Zahid ketika perbicaraannya di Mahkamah Tinggi mengeluarkan kenyataan mengatakan Dr Mahathir memintanya membubarkan Umno kerana mendapati parti itu tiada masa depan dan tidak lagi boleh dipercayai.

Ahmad Zahid mendakwa pertemuannya dengan Dr Mahathir itu dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bekas Perdana Menteri itu turut didakwa meminta semua ahli Umno menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 12:52 PM