Redzuan Muharam


Bangi: "Kalau tak menang, mencalonkan PM (Perdana Menteri) tiada makna," kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, pihaknya belum memutuskan mana-mana calon sebagai Perdana Menteri sekiranya berjaya membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, terlalu awal untuk menentukan siapa yang layak menyandang jawatan itu, malah ia bukanlah keutamaan parti buat masa ini.

"Tiada calon PM (Perdana Menteri) ditentukan lagi," katanya pada sidang media selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada calon GTA pada majlis pengumuman calon PRU-15 GTA di Pusat Konvensyen Bangi, di sini.

Hadir sama, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; pemimpin tertinggi, calon dan ahli GTA.

Pada majlis itu belum mengumumkan 121 calon bakal bertanding kerusi Parlimen di seluruh negara, namun mengesahkan masih ada kerusi yang belum diumumkan calonnya.

"Nama calon belum dipilih akan diumum oleh Ketua Setiausaha GTA (Datuk Marzuki Yahya)," katanya.

Mengenai manifesto, Mahathir berkata, ia akan dikeluarkan dalam waktu terdekat. "Manifesto akan dikeluarkan dalam satu dua hari," katanya.

Beliau turut menegaskan calon dipilih mewakili GTA adalah mereka yang mempunyai reputasi baik, rekod 'bersih' dan tiada pertuduhan di mahkamah.

MAHATHIR (kanan) berbincang bersama Ibrahim Ali di Majlis Pengumuman Calon PRU ke-15 Gerakan Tanah Air (GTA) di Bangi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MAHATHIR (kanan) berbincang bersama Ibrahim Ali di Majlis Pengumuman Calon PRU ke-15 Gerakan Tanah Air (GTA) di Bangi. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 8:23 PM