MOHAMAD Haron (dua kanan) menyerahkan skim faedah Perkeso kepada K Vijaendran di rumahnya di Damansara Damai. FOTO Hazreen Mohamad
MOHAMAD Haron (dua kanan) menyerahkan skim faedah Perkeso kepada K Vijaendran di rumahnya di Damansara Damai. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin dan Muhamad Lokman Khairi

Petaling Jaya: Punca pendapatan seorang penghantar makanan terhenti lebih setahun lalu apabila tidak mampu bekerja akibat kecederaan dialami selepas terbabit dalam kemalangan motosikal, di sini, pada September tahun lalu.

Menurut K Vijaendran, 33, tangan kirinya patah dalam kemalangan itu menyebabkan termasuk dipasang besi dan tidak dapat menunggang motosikal sekali gus sukar untuk bekerja.

"Saya bekerja sebagai penghantar makanan sejak tiga tahun lalu untuk menyara isteri, K Kesavan, 30, dan anak lelaki berusia empat tahun.

"Apabila kejadian ini berlaku mengakibatkan saya hilang punca pendapatan kerana tidak dapat menunggang motosikal.

"Pada masa sama, saya masih lagi perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital dan doktor menasihatkan saya hanya boleh melakukan kerja-kerja ringan sahaja disebabkan kecederaan ini," katanya.

K Vijaendran berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan baucar bayaran kepada orang bekerja sendiri di bawah Skim Bencana Pekerjaan Sendiri Perkeso di rumahnya di Damansara Damai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kuala Lumpur Mohamad Asri Ngosman.

K Vijaendran berkata, beliau bersyukur kerana mengikut nasihat isteri untuk membuat caruman sendiri dengan Perkeso sebagai jaminan masa depan sekiranya berlaku perkara tidak diingini sebelum ini.

"Saya membuat caruman dengan Perkeso selepas beberapa bulan bekerja sebagai penghantar makanan. Apabila kemalangan itu berlaku, saya terus memohon bantuan daripada Perkeso.

"Bantuan Perkeso ini membantu saya untuk menyara keluarga sehingga kini," katanya yang memaklumkan isterinya yang juga suri rumah sedang mencari pekerjaan bagi menampung hidup mereka.

Sementara itu, Mohamad Asri berkata, tindakan K Vijaendran membuat caruman adalah langkah yang bijak untuk menjamin masa depan mereka terutama apabila berdepan dengan musibah.

"Pasangan ini bertuah kerana K Vijaendran mendaftar dengan Perkeso dan majikannya (syarikat e-hailing) mencarum dengan kita. Oleh sebab itu, kita dapat membantu menguruskan kos rawatannya.

"Justeru, kita amat menggalakkan penghantar makanan dan pemandu e-hailing supaya mendaftar dengan Perkeso kerana mereka terdedah dengan banyak risiko di atas jalan raya," katanya.

Vijaendran adalah antara pencarum Perkeso dalam sektor Pengangkutan Barangan dan Makanan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (pelan 2) dengan caruman berjumlah RM232.80.  

Ia dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan melalui Program SPS Lindung bagi tempoh perlindungan selama setahun bermula 15 Februari 2021 hingga 14  Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 2:56 PM