MOHAMMED Azman menyerahkan replika cek kepada Siti Nur Juliana sambil disaksikan Nallusamy. FOTO MOHD AMIN JALIL.
MOHAMMED Azman menyerahkan replika cek kepada Siti Nur Juliana sambil disaksikan Nallusamy. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil


“DIA pergi tanpa sebarang pesan, namun saya reda dengan ketentuan Allah ini,” kata Siti Nur Juliana Mustafa, 22 iaitu isteri kepada Muammar Gaddafi Jamaluddin, 25, yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Batu 11, Jalan Labu, 21 Februari lalu.

Siti Nur Juliana berkata dia terkejut apabila dimaklumkan suaminya terbabit kemalangan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Sebelum kejadian suami tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

“Suami memang melakukan pelbagai kerja dan tugas penghantar makanan baharu saja dilakukan,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pembantu klinik mempunyai seorang anak, Nur Shazia Media berusia satu setengah tahun bagaimanapun enggan bercakap panjang kerana masih bersedih dengan kejadian itu.

Dalam kejadian itu, Muammar Gaddafi yang bekerja sebagai penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam nahas jalan raya di Batu 11 Jalan Labu, Kampung Lambar dekat sini.

Kemalangan pada 6.18 petang itu, membabitkan Honda Wave ditunggang Muammar Gaddafi, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan Terrano dan Perodua Myvi.

Siti Nur Juliana ditemui pada majlis penyampaian faedah pengurusan jenazah dan pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di rumah bapa mertuanya di Taman Sri Mawar Senawang, di sini, petang tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed menyampaikan sumbangan pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 kepada Siti Nur Juliana.

Turut hadir ialah Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, M Nallusamy.

Mohammed Azman berkata, balu dan anak mangsa, akan menerima pencen penakat sebanyak RM692.30 setiap bulan.

“Kita menggesa individu yang bekerja sendiri supaya mendaftar dan mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk perlindungan diri dan keluarga.

“Langkah itu penting untuk melindungi diri dan ahli keluarga jika berlaku sesuatu kejadian tidak diingini seperti kemalangan dan sebagainya. Kita tidak mahu lihat berulangnya kes dimana waris pemandu e-hailing ataupun penghantar makanan yang meninggal dunia tidak mendapat sebarang pampasan kerana tiada caruman keselamatan sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 7:04 PM