Khairulmizan Yahya


Kuantan: Seorang ibu merayu supaya kerajaan Malaysia dapat membantu membawa pulang anak lelakinya yang dipercayai menjadi mangsa permerdagangan manusia dan kini terperangkap di Myanmar.

Perkara itu telah didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chong Siang melalui satu hantaran video.

Menerusi video terbabit, wanita dikenali sebagai Haniza, 52, itu memberitahu, kali terakhir dia berhubung dengan anak lelakinya berusia 26 tahun pada 30 Oktober lalu namun tidak menyatakan lokasi dia berada.

"Sebelum itu, dia ada menghubungi kakaknya pada 7 September lalu memberitahu sedang menguruskan pasport untuk bekerja di Singapura namun sehingga kini kami tidak mendapat sebarang berita daripadanya.

"Puas kami mencari dan bertanya kepada rakan serta saudara mara namun sehingga hari ini kami sekeluarga masih gagal menghubunginya.

"Susulan itu, satu laporan polis sudah dibuat kerana bimbang keselamatannya, sekali gus bagi membolehkan pihak berkuasa mengesannya," katanya.

Sementara itu, Sim berkata, dia menerima maklumat enam rakyat negara ini termasuk seorang wanita kini terperangkap di Myanmar dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

"Mereka dipercayai terjerat dengan penipuan tawaran kerja sebelum dibawa oleh ejen ke negara berkenaan menerusi Singapura," katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum, di sini.

Katanya, selepas menerima maklumat berkenaan, pihaknya berusaha untuk mencari waris mangsa dan berjaya menghubungi Haniza untuk memaklumkan mengenai perkara itu.

"Perkara ini akan dibawa kepada Kementerian Luar Negeri untuk tindakan lanjut dan saya sedia membantu jika diperlukan," katanya.

Menurutnya, dia menerima aduan sekurang-kurangnya 40 rakyat negara ini terperangkap di Myanmar namun dalam usaha mendapatkan maklumat lanjut sebelum usaha menghubungi waris dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 11:58 AM
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chong Siang menunjukkan maklumat yang diterimanya mengenai rakyat Malaysia yang terperangkap di Myanmar pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Teruntum, Kuantan. FOTO KHAIRULMIZAN YAHYA
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chong Siang menunjukkan maklumat yang diterimanya mengenai rakyat Malaysia yang terperangkap di Myanmar pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Teruntum, Kuantan. FOTO KHAIRULMIZAN YAHYA