GAMBAR fail Pulau Batu Puteh. FOTO Nur Aisyah Mazalan
GAMBAR fail Pulau Batu Puteh. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jemaah Menteri bersetuju supaya kerajaan meneruskan tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, itu antara persetujuan selepas mendengar pembentangan Pasukan Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Beliau berkata, mesyuarat dimaklumkan mengenai terdapat kemungkinan kecuaian dan kekhilafan bekas Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman ICJ pada 2008.

."...dan permintaan tafsiran Batu Puteh, Batuan Tengah serta Tubir Selatan selepas Tun Dr Mahathir membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018.

"Justeru Jemaah Menteri bersetuju cadangan yang dikemukakan oleh pasukan khas untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mempertahankan kedaulatan negara," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pasukan petugas khas juga sudah membentangkan Laporan Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk "My Story: Justice In The Wilderness" tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

"Susulan pembentangan laporan itu, kerajaan bersetuju untuk menyahklasfikasikan dan mendedahkan laporan itu kepada umum," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua laporan didengari pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 September dan 7 Oktober lalu.

Menurutnya, pelbagai pendekatan sudah dilaksanakan kedua-dua Pasukan Petugas Khas seperti meneliti dan menyemak dokumentasi dan material berkaitan, mengadakan siri perbincangan mesyuarat dan lawatan kerja dalam serta luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juru hidrografi luar negara, serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti bagi melaksanakan tugasan sebagaimana terma rujukan ditetapkan.

"Syor-syor hala tuju kerajaan dan penambahbaikan yang dicadangkan Pasukan Petugas Khas melalui kedua-dua laporan ini adalah bersifat telus, berkecuali dan inklusif dengan mempertimbangkan hasil analisa, penelitian serta pemerhatian ahli Pasukan Petugas Khas.

"Pelaksanaan Pasukan Petugas Khas ini secara keseluruhannya menjelaskan komitmen Kerajaan untuk penyelesaian terbaik berkaitan perkara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 6:31 PM