KERAJAAN akan terus memastikan kepentingan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.
KERAJAAN akan terus memastikan kepentingan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

Kuala Lumpur: Tindakan menarik balik dua permohonan semakan terhadap keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah tidak teratur dan tidak wajar," kata Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Menerusi kenyataan satu media semalam, Idrus berkata, Laporan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang berkaitan kes itu dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari lalu.

"Berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 11 Januari 2023 terbabit, kerajaan berpendapat bahawa tindakan untuk menarik balik kedua-dua Permohonan Semakan ke atas keputusan kes Sovereignty over Pedra Branca/Pulau Batu Puteh, Middle Rocks/Batuan Tengah and South Ledge/Tubir Selatan (Malaysia/Singapura) dan Permintaan Tafsiran ke atas keputusan yang sama adalah tidak teratur dan tidak wajar," katanya.

Bagaimanapun Idrus berkata, kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap kes itu yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

"Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji syor-syor yang dibuat oleh Pasukan Petugas Khas itu termasuk isu berkaitan dengan tort misfeasans (tort of misfeasance in public office) dan akan mengambil tindakan yang perlu bagi melaksanakan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri.

"Isu Batu Puteh adalah isu yang sangat penting kerana ia membabitkan kepentingan strategik dan kedaulatan negara. Dalam hal ini, kerajaan akan terus memastikan kepentingan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara," kata Idrus.

Pada 3 Februari 2017, kerajaan Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ pada 23 Mei 2008 yang memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Batu Puteh manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.

Bagaimanapun, pada 2018 kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan terbabit sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018 di ICJ.

Pada 14 Disember tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu tuntutan Batu Puteh dikaji semula supaya rundingan segera dan lebih bermakna dapat diadakan dengan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 7:45 AM