PULAU Batu Puteh
PULAU Batu Puteh
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Laporan akhir pasukan petugas khas semakan undang-undang kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, akan dibentangkan kepada jemaah menteri, bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau menerima laporan akhir setebal 500 muka surat itu hari ini, sembilan bulan selepas pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ditubuhkan.

Wan Junaidi berkata, laporan akhir itu adalah bersifat bebas berasaskan pandangan dan pendapat pakar hasil analisa, penelitian dan pemerhatian pasukan petugas khas sejak 9 November 2021 hingga 30 Ogos 2022.

"Syor opsyen terbaik kerajaan mengenai hala tuju berhubung kes berkenaan yang dijelaskan melalui laporan khas ini, adalah susulan keputusan kerajaan pada 2018 untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan (Application for Revision) dan Permintaan Tafsiran (Request for Interpretation) di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, terhadap keputusan penghakiman ICJ pada 2008.

"Pelaksanaan pasukan petugas khas ini adalah komitmen kerajaan untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan.

"Lanjutan daripada ini, syor pasukan petugas khas akan diteliti secara mendalam dan terperinci dari semua aspek agar sebarang tindakan susulan kerajaan berkaitan isu ini memberikan impak yang positif kepada negara.

"Laporan akhir pasukan petugas khas ini dijangka dibentangkan kepada jemaah menteri pada September 2022 sebagaimana keputusan jemaah menteri pada 29 Oktober 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 9 Oktober lalu, Kabinet memutuskan untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh atau Pedra Branca.

Usaha itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Batu Puteh.

Ia susulan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, terhadap keputusan penghakiman ICJ pada 2008.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Permohonan semakan itu difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting, menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap ia memperoleh kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh daripada Johor.

Dua daripada dokumen itu yang hanya boleh diakses kepada awam selepas ICJ memberikan penghakimannya, juga menunjukkan pegawai Tentera Laut British mengakui perairan di pulau terbabit adalah milik Johor.

Namun, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri pada 2018, mendakwa tuntutan Malaysia dalam kes Batu Puteh ditarik semula bagi mematuhi perjanjian dengan Singapura untuk menerima segala keputusan mahkamah antarabangsa berhubung tuntutan itu.

Selain itu, Dr Mahathir turut mendakwa, kesalahan berhubung isu Batu Puteh itu bermula apabila pegawai kerajaan Johor menyatakan kepada British yang batuan berkenaan bukan milik Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 4:45 PM