BANJIR di sekitar Kampung Ketiau dekat Putatan. FOTO Mohd Adam Arinin
BANJIR di sekitar Kampung Ketiau dekat Putatan. FOTO Mohd Adam Arinin
BERNAMA

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mahu semua pihak berkaitan turun padang bagi meninjau keadaan banjir di negeri itu dan menilai kesannya kepada rakyat yang terjejas akibat bencana berkenaan.

Hajiji berkata, beliau telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan dan jawatankuasa bantuan bencana untuk menangani serta menilai kerugian disebabkan banjir yang menenggelamkan beberapa kawasan di Kota Kinabalu dan di pinggir bandar itu semalam.

"Semua jawatankuasa pengurusan bencana telah diarah berwaspada bagi menghadapi cuaca buruk yang kemungkinan menyebabkan lebih banyak kejadian banjir dan mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah hari ini, seramai 88 orang daripada 16 keluarga dipindahkan setakat 8 malam ini ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas banjir melanda daerah Penampang, Putatan dan Papar.

Hujan lebat berterusan petang semalam menyebabkan beberapa lokasi sekitar pantai barat Sabah terutama di daerah Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 11:18 PM