GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah hari ini mengarahkan semua jawatankuasa pengurusan bencana di negeri ini diaktifkan berikutan ramalan cuaca buruk di kawasan pantai timur dan utara negeri ini.

Dalam satu kenyataan malam ini, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, langkah segera itu berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang menjangkakan hujan lebat berterusan di kawasan berkenaan bermula hari ini sehingga Ahad.

"Saya sudah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong untuk mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pegawai Daerah supaya segera mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana.

"Semua pihak juga diminta dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya atas sebarang kemungkinan terutama bencana angin kencang, banjir dan tanah runtuh," katanya.

Beliau turut mengarahkan semua PBT supaya terus membersihkan sistem perparitan dan saliran di kawasan masing-masing bagi memastikan tidak tersumbat jika hujan berterusan.

Hajiji juga menggesa rakyat negeri ini supaya peka dengan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan semua.

MetMalaysia hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap kuning (waspada) yang dijangka berlaku di Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Kudat sehingga Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 8:24 PM