KOTA Belud. FOTO Arkib NSTP
KOTA Belud. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kota Belud: Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan memperuntukkan hampir RM25 juta untuk melaksanakan projek pembangunan dan kemudahan asas di Kota Belud tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata di bawah Belanjawan Sabah 2021, sebanyak RM17.07 juta diperuntukkan kepada pejabat daerah sebagai sebahagian daripada rancangan untuk memastikan matlamat dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dicapai manakala kerajaan Persekutuan telah menyalurkan RM7.9 juta lagi kepada pejabat daerah.

"Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan pelbagai program pembangunan untuk manfaat penduduk di daerah ini," katanya dalam ucapan pada perasmian Tamu Besar di Dewan Tun Said di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Kota Belud yang terletak kira-kira 70 km dari Kota Kinabalu adalah destinasi kegemaran pelancong, dan antara tarikannya ialah Tamu Besar, satu acara tahunan yang diadakan untuk peniaga berkumpul menjual pelbagai hasil tempatan dan barangan harian.

Hajiji berkata kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga memberi peruntukan khas sebanyak RM6.5 juta tahun ini untuk kerja-kerja naik taraf kawasan bulatan Lebak Moyoh yang sering dilanda banjir.

"Kerja naik taraf sudah 64 peratus siap. Saya pasti sebaik sahaja kerja-kerja itu siap, pengguna jalan raya yang menggunakan laluan itu akan lebih selesa (apabila tidak perlu lagi berdepan banjir setiap kali hujan)," katanya.

Hajiji berkata kerajaan juga meluluskan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 32.2 km merentasi daerah itu dari Pituru ke Rampayan.

Selain itu katanya, kerajaan telah membaiki dan membina 23 daripada 47 sekolah usang di Kota Belud.

"Kerajaan juga prihatin dengan nasib pengusaha pelancongan tempatan yang terjejas dengan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 1:43 PM