IKMAL Hisham Abdul Aziz. FOTO Bernama
IKMAL Hisham Abdul Aziz. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz menafikan tuduhan dibuat Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli konon dirinya terbabit dalam pemberian surat niat penganugerahan kontrak perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) kepada MA Analytics Sdn Bhd.

Ikmal berkata, susulan fitnah yang dibuat timbalan presiden PKR itu, beliau turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, melalui Setiausaha Sulit Kanan Mohammad Iskandar Idris, hari ini.

"Sebagai timbalan menteri pertahanan saya sama sekali tidak mempunyai kuasa dalam menentukan atau mempengaruhi pemilihan syarikat di dalam mana-mana perolehan kementerian.

"Ini memandangkan Kementerian Pertahanan telah menetapkan setiap perolehan aset dan kelengkapannya yang baharu mempunyai proses kerja yang perlu dipatuhi dan perlu diperakukan oleh pengguna sendiri iaitu tentera darat, tentera laut atau tentera udara, sebelum sebarang perolehan dilaksanakan dan seterusnya dikemukakan kepada agensi pusat seperti Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk kelulusan perolehan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ia adalah satu fitnah dan pembohongan yang bertujuan politik bagi mencemarkan nama baiknya dan menyemarakkan kebencian orang awam terhadapnya.

"Saya menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat serta mendakwa Mohd Rafizi melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

"Pada masa sama sekali lagi saya tegaskan, apa yang dinyatakan oleh beliau adalah satu fitnah dan tohmahan yang bermotif politik apatah lagi dalam keadaan negara dijangka mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 tidak lama lagi," katanya.

Beliau juga bersedia bekerjasama dalam sebarang siasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

(SPRM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 6:30 PM