GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Subang Jaya: Tindakan dua lelaki memecah masuk kilang di Kampung Bersatu, Batu 13 Puchong mengundang padah apabila mereka ditahan polis Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, penahanan mereka dibuat susulan laporan polis dibuat pemilik kilang itu selepas mendapati premisnya dipecah masuk.

Menurutnya, polis kemudian menjalankan siasatan dan risikan selepas menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Polis kemudian menahan suspek berusia 32 dan 35 tahun pada jam 4 petang berhampiran jejambat Batu 14, Puchong.

"Siasatan awal yang dijalankan membawa pasukan polis ke sebuah rumah di Pusat Bandar Puchong serta berjaya merampas pelbagai peralatan dipercayai hasil curi daripada kilang yang dipecah masuk," katanya hari ini.

Wan Azlan berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek berusia 35 tahun mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah, dadah serta pertubuhan haram.

"Suspek berusia 32 tahun pula mempunyai lapan rekod jenayah dan lima rekod berkaitan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 2:37 PM