GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid

Subang Jaya: Seorang anak sanggup mengugut untuk membunuh ibu kandungnya kerana mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain selepas kematian bapanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari semalam, suspek iaitu lelaki berusia 35 tahun menyerang mangsa berusia 58 tahun di kedainya di Taman Perindustrian Puchong Utama, di sini, selepas memarahi mangsa.

Beliau berkata, selepas mangsa dimarahi, suspek kemudian memukul muka mangsa menggunakan sekeping fail dan mengugut mahu membunuh mangsa yang juga ibu kandung suspek.

"Punca kejadian kerana suspek menuduh pengadu mempunyai hubungan dengan lelaki lain selepas kematian bapanya.

"Suspek sudah ditahan kira-kira 11.30 malam, semalam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Rumahtangga dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

"Ujian awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. "Semakan lanjut rekod jenayah juga mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau termasuk jenayah dan narkotik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, suspek dibenarkan reman selama tiga hari bermula 11 sehingga 13 Januari.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan ugutan jenayah yang mendatangkan ketakutan menyebabkan kecederaan.

"Orang ramai dinasihati supaya mematuhi undang-undang Malaysia dan tidak berkelakuan melampaui batas.

"Pihak polis juga amat mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) untuk tindakan lanjut.

"Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 10:23 PM