GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Subang Jaya: Dituduh mencuri barang di dalam rumah suspek menjadi motif penculikan seorang penganggur yang mayatnya ditemukan di Batu 14, Puchong, 6 September lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, hasil siasatan dijalankan suspek memberitahu mereka menculik mangsa selepas suspek menuduh lelaki terbabit mencuri barangan di dalam rumahnya.

"Siasatan kita, mangsa dituduh mencuri barangan suspek dan sebab itu dia diculik.

"Reman ke atas semua tujuh suspek sudah tamat dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk siasatan berkaitan kes bunuh," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 7 September lalu, Harian Metro melaporkan lelaki ditemukan mati di dalam sebuah kereta di Batu 14, Puchong.

Lelaki terbabit sebelum itu dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah di sini.

Mayat mangsa yang juga penganggur berusia 26 tahun, ditemukan di dalam Proton Gen2, 12.50 tengah malam di kawasan sebelah Stesen Minyak Petronas, Batu 14, Puchong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 3:43 PM