GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Subang Jaya: Polis memohon bantuan orang ramai atau saksi kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di Jalan Taman Tasik Prima ke arah Bukit Puchong.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima satu laporan polis berkenaan kemalangan jalan raya membabitkan motosikal Yamaha 135LC pada 11 malam Rabu lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di Jalan Taman Tasik Prima ke arah Bukit Puchong di mana lelaki berusia 20 tahun menunggang motosikal cuba mengelak kereta sebelum hilang kawalan dan melanggar pembahagi batu di tepi jalan sebelah kiri.

"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital Khamis lalu.

"Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata, sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor K Ratnacristinavany di talian 017-9074893 bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 1:24 PM