FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

Semporna: Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan RM380,000 bagi pembaikan infrastruktur untuk menyediakan Pusat Bersalin Alternatif (ABC) di Klinik Kesihatan Pulau Bum Bum dekat sini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pewujudan ABC akan memberi kemudahan kepada ibu mengandung di pulau itu untuk melahirkan anak di klinik kesihatan terbabit tanpa perlu ke tanah besar Semporna.

"Ini akan menjimatkan masa dan perbelanjaan sekali gus meringankan beban penduduk di sini.

"Di sini (Pulau Bum Bum) kelahiran bayi pada setiap bulan direkodkan lebih kurang 40 orang," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Klinik Kesihatan Pulau Bum Bum hari ini.

Dr Noor Azmi berkata KKM berusaha memperbaiki perkhidmatan kepada rakyat termasuk penduduk pulau dan ia seiring hasrat kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Semporna Dr Shameer Khan Sulaiman berkata ABC hanya menumpukan kes bersalin normal dan selamat manakala kes bersalin rumit akan dirujuk ke Hospital Semporna.

"Saya jangka pusat bersalin ini akan mula beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini dan lawatan timbalan menteri pada hari ini untuk meninjau permohonan berkaitan keperluan aset serta peralatan bagi pewujudan ABC ini.

"Dana RM380,000 itu untuk segi infrastruktur manakala lebih kurang RM200,000 diperlukan bagi kelengkapan peralatan untuk memulakan perkhidmatan ABC kepada penduduk kerana kadar kelahiran tinggi di pulau menyebabkan perlu ada pusat bersalin sendiri," katanya.

Dr Shameer Khan turut berpendapat Hospital Semporna juga perlu dinaik taraf kepada hospital berpakar kerana kadar peningkatan penduduk selain faktor pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 3:38 PM