KUNJUNGAN Idris ke hospital. FOTO IHSAN JAKIM
KUNJUNGAN Idris ke hospital. FOTO IHSAN JAKIM
Samadi Ahmad


Putrajaya: "Penjagaan spiritual harus ditekankan sebagai kaedah alternatif bagi membantu Keluarga Malaysia yang berada dalam kemurungan atau tekanan membina kembali kekuatan dalaman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad menerusi hantaran Facebook berkata, kekuatan rohani dan keseimbangan kesihatan mental serta fizikal perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan besar kepada diri seseorang.

"Hari ini saya berada di Hospital Sungai Buloh bagi meninjau perkembangan program kerjasama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini.

"Perkhidmatan yang dimulakan sejak Februari ini membabitkan seramai 63 pelanggan dari kalangan kakitangan hospital, pesakit dan waris-waris pesakit. Ia membabitkan program kaunseling syarie, psikologi spiritual dan 'Ilaj Syarie," katanya.

Sementara itu, JAKIM dalam hantaran Facebook memaklumkan Hospital Sungai Buloh dipilih sebagai hospital rintis bagi program itu.

"Matlamat lawatan menteri adalah bagi meninjau dengan lebih dekat serta mendapat maklumat perkembangan pelaksanaan perkhidmatan itu sepanjang tempoh pelaksanaannya.

"Apabila seseorang yang berada dalam keadaan ujian sakit, amalan-amalan kerohanian seperti zikir, bacaan al-Quran, doa dan lain-lain menjadi terapi kekuatan dalaman pesakit. Ia mampu membina daya tahan dan kekuatan dalaman seseorang dan mudah-mudahan ia juga menjadi salah satu asbab mendapat kesembuhan daripada Allah SWT," menurut hantaran itu.

JAKIM juga menyatakan program penjagaan kendiri itu merupakan satu keupayaan individu untuk menjaga diri sendiri melalui aktiviti kesejahteraan fizikal, spiritual dan emosi.

"Usaha mengetengahkan pendekatan ini adalah sangat bertepatan dengan situasi semasa apabila ramai dalam kalangan masyarakat kita dan tidak terkecuali kakitangan hospital dan pesakit yang terkesan akibat COVID-19. Ramai yang menghadapi tekanan emosi bahkan tekanan mental," kata JAKIM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 4:45 PM