LOKASI dua pekerja dipercayai tertimbus. FOTO Balqis Jazimah Zahari
LOKASI dua pekerja dipercayai tertimbus. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Biarpun jasad tiada depan mata sekurang-kurangnya ada kubur sebagai tanda.

Itu harapan Wak Uda Bah Kim, 41, isteri kepada Itam Lasoh, 43, seorang daripada pekerja kuari yang dipercayai tertimbus selepas runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini, Mac lalu.

Wak Uda berkata demikian susulan penemuan dua bangkai jengkaut, tulang dan cebisan baju, semalam selepas hampir enam bulan usaha pencarian menemui jalan buntu.

Katanya, pada ketika ini dia tidak mahu berfikir banyak dan berserah kepada ketentuan tuhan.

"Gerak hati buat masa ini... saya banyak-banyak berdoa dengan Tuhan dan saya tak nak fikir yang bukan-bukan.

"Saya tak nak fikir yang negatif. Kita tumpukan perhatian pada keputusan (bedah siasat cebisan tulang yang ditemui semalam).

"Tak tahu nak cakap macam mana. Kita tunggu keputusan yang betul-betul pasti," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, dia terus menuju ke lokasi sebaik mengetahui penemuan berkenaan.

"Polis maklumkan berita ini dan saya terus datang ke sini untuk tahu lebih lanjut," katanya.

Katanya, mereka sekeluarga kerap datang ke lokasi untuk mengetahui perkembangan usaha pencarian di kuari berkenaan.

"Dari awal sehingga hari ini memang selalu datang, tak tentu... dalam dua minggu sekali kami datang, atau dua kali sehari dalam masa seminggu kami datang.

"Anak-anak kat rumah sudah tahu (penemuan), mereka pun menunggu juga. Harapan saya tak pernah putus selagi tak jumpa," katanya.

Kejadian runtuhan batu di tapak kuari ini, 8 Mac lalu mengakibatkan dua mangsa dikhuatiri tertimbus iaitu Itam dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 12:21 PM