Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Alat pengesan logam digunakan untuk mengesan bangkai jengkaut dalam kejadian dua mangsa tertimbus dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini, dilaporkan ada mengeluarkan isyarat 'bunyi'.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun perkara itu tidak dapat dipastikan dan pihaknya sedang menunggu laporan penuh daripada pasukan pakar pengendali alat pengesan logam yang giat menjalankan operasi di lokasi kejadian.

"Setakat ini, kita belum mendapat apa-apa melainkan ada sebuah mesin digunakan untuk menggerudi dan dikatakan ada berlaku pengesanan logam.

"Disebabkan alat pengesan ini mengesan 'bunyi', kita hanya boleh mengandaikan bangkai jengkaut berada di bawah itu. Jentera cuba untuk menggerudi kalau betul ada bangkai jengkaut berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan di lokasi kejadian itu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Saarani berkata, belum dapat dipastikan sama ada bunyi itu datangnya daripada bangkai jengkaut terbabit atau faktor lain.

"Seperti dilaporkan, akan berlaku gangguan pengesanan kerana kawasan ini adalah kawasan dikenal pasti ada potensi bijih besi.

"Jadi, takut nanti alat pengesan itu tidak mengesan kedudukan bangkai jengkaut, tetapi mengesan bijih besi dan tidak dapat dipastikan berapa lama tempoh proses untuk menggerudi yang akan dijalankan berpandukan bunyi terbabit.

"Kita tidak ada kepastian berapa lama, sebab kita tidak tahu berapa kedalamannya dan berapa pula batu batan runtuh itu, ia mengambil masa.

"Blasting sudah dibuat sebanyak 13 kali untuk membolehkan berlaku belahan memberi sedikit ruang untuk tujuan pengesanan logam berkenaan," katanya

Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan individu tertentu yang mengatakan keluarga mangsa terabai dan tidak mendapat bantuan.

Semalam, media melaporkan, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa runtuhan kuari itu akan menggunakan alat pengesan logam bagi mengesan kedudukan bangkai jengkaut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 8:13 PM