Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis giat memburu dua lelaki tempatan yang dipercayai memukul seorang lelaki warga asing menggunakan senjata hingga mengakibatkan kecederaan dalam pergaduhan di Menglembu .

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata dalam kejadian kira-kira 6.22 petang semalam, mangsa yang disahkan warga Myanmar, 44, dipukul oleh tiga lelaki selepas disyaki mencetuskan provokasi ke atas tiga suspek terbabit.

Menurutnya, kejadian berlaku selepas tiga suspek berkenaan yang kesemuanya berusia 20-an disyaki diganggu oleh mangsa ketika sedang makan dan minum di sebuah premis.

"Mangsa disyaki mengganggu tiga suspek berkenaan yang sedang makan dan minum di sebuah kedai makan sebelum memprovokasi kemarahan semua suspek itu.

"Tiga lelaki berkenaan memukul mangsa menggunakan kayu dan kerusi. Identiti ketiga-tiga suspek berkenaan bagaimanapun sudah dikenal pasti dengan usaha mengesan mereka kini giat dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa hanya cedera ringan di tangan serta kepala dan dirawat di hospital sebagai pesakit luar dengan seorang daripada suspek berkenaan yang juga lelaki tempatan sudah berjaya ditahan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Beliau berkata, kerjasama turut diharapkan daripada orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitannya supaya tampil menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Amy Crystal Anak Barahen di talian 014-3909719 untuk membantu siasatan lanjut.

Terdahulu tular dua video masing-masing berdurasi 10 saat dan 14 saat memaparkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 3:47 PM
TANGKAP layar video tular. FOTO Ihsan PDRM IPOH
TANGKAP layar video tular. FOTO Ihsan PDRM IPOH