Kereta dinaiki mangsa yang dirempuh lori (kanan) suspek suspek dalam kejadian samun di Persiaran Bukit Meru 3, Taman Meru, Ipoh, pagi tadi. FOTO L Manimaran
Kereta dinaiki mangsa yang dirempuh lori (kanan) suspek suspek dalam kejadian samun di Persiaran Bukit Meru 3, Taman Meru, Ipoh, pagi tadi. FOTO L Manimaran
Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Sekumpulan penyamun dipercayai bersenjatakan pistol menyamun peniaga kedai emas dengan merempuh kereta dipandu mangsa dan melarikan wang tunai serta barangan kemas dianggarkan bernilai lebih RM200,000 di Taman Meru, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, kumpulan penyamun yang bertopeng itu bertindak merempuh kereta dinaiki mangsa menggunakan lori tiga tan sebelum menyerang dan melarikan wang serta barang kemas dibawa mangsa.

Seorang daripada suspek turut mengugut dan memukul kepala mangsa dengan menggunakan objek seperti senjata api sebelum kesemua suspek yang dipercayai sekurang-kurangnya empat lelaki melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan lain disyaki pacuan empat roda dengan meninggalkan lori di lokasi kejadian.

Menurut sumber, suspek melarikan wang tunai dianggarkan sebanyak RM10,000 dan barang kemas bernilai kira-kira RM200,000.

"Semasa mangsa menaiki kereta melalui jalan Persiaran Meru 3, di taman perumahan berkenaan secaratiba-tiba sebuah lori yang datang dari arah bertentangan melanggar sisi kanan kereta dan kemudian keluar emoat lelaki bertopen serta salah seorang mengacu pistol kearah mangsa.

"Suspek juga memukul pengadu dengan pistol dan ambil cincin dari jari pengadu serta mengambil beg mengandungi barang kemas dan wang tunai selain tiga telefon bimbit mangsa," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil semakan lori yang digunakan suspek dilaporkan hilang pada Mac lalu.

"Mangsa cedera akibat dipukul di kepala dan badan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 5:29 PM