Nurul Hidayah Bahaudin


SUAMI isteri cedera selepas dipukul tiga lelaki bertopeng ketika berada di rumah mereka di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 31 tahun bersama isterinya dikatakan sedang menonton televisyen di ruang tamu ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, tiga suspek yang memakai topeng itu memasuki rumah pasangan terbabit melalui pintu hadapan kediaman berkenaan yang tidak berkunci.

"Sebaik memasuki rumah itu, mereka terus memukul mangsa yang sedang menonton televisyen di bahagian kepala menggunakan tukul besi.

"Mangsa berjaya merampas tukul itu, namun suspek bertindak memukul lelaki terbabit menggunakan kayu cota berwarna hitam di seluruh badan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Noor Azmi berkata, isteri mangsa turut dipukul oleh suspek menggunakan kayu cota di bahagian tangan dan badan ketika membantu suaminya.

"Selepas itu, ketiga-tiga suspek keluar dari rumah berkenaan dan memecahkan cermin kereta Nissan Almera milik mangsa yang diletakkan di hadapan rumah sebelum melarikan diri.

"Mangsa cedera di bahagian kepala serta badan, manakala isterinya cedera di bahagian tangan dan badan," katanya.

Beliau berkata, tiada barang milik mangsa dan isterinya dilarikan oleh suspek.

"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan mengikut Seksyen 324/427 Kanun Keseksaan kerana memukul menggunakan senjata hingga mendatangkan kecederaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Faez Paiman di talian 03-92899222 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 9:09 AM