BERNAMA

Ipoh: Seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh cedera di kepala selepas dipukul lapan lelaki di kawasan tapak pembinaan rumah di Taman Sri Wangi Lahat di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa yang sedang bertugas mengekori semua lelaki yang bertopi keledar menutup muka menunggang empat motosikal masuk ke tapak pembinaan berkenaan.

Sum berkata, mangsa melihat lapan lelaki itu cuba mencuri jubin dan turun dari keretanya.

“Suspek cuba melarikan diri namun mangsa berjaya menahan seorang suspek dan berlaku pergelutan.

“Suspek yang lain datang menolong dan memukul kepala mangsa menggunakan kayu sehingga anggota polis itu pengsan. Selepas sedar, mangsa mendapati

pistolnya hilang," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Menurut Sum, mangsa terserempak dengan seorang rakan sejawat yang membawanya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan.

“Hasil siasatan di tempat kejadian, polis menemui sepucuk pistol Smith & Wesson beserta lima butir peluru dan dua batang kayu dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

“Dua saksi yang nampak kejadian sudah dirakam percakapan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata. masih diteruskan untuk mengesan suspek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 11:55 PM