KEBAKARAN rumah di Durian Tunggal. FOTO ihsan Bomba
KEBAKARAN rumah di Durian Tunggal. FOTO ihsan Bomba
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: "Baru dua rakaat mendirikan solat Isyak, saya terdengar letupan dan bunyi bumbung terjatuh antara dapur dan bilik adik. Saya terpaksa berhenti solat dan meluru ke dapur sebelum mendapati api marak membakar rumah," ujar Shahrul Nizam Ibrahim, 29.

Dalam kejadian 8.30 malam tadi, dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman di Jalan Bunga Kertas, Kampung Belimbing Dalam di sini, musnah dijilat api.

Shahrul Nizam berkata, ketika kejadian hanya dia berada di dalam rumah manakala bapanya ke masjid berdekatan.

"Sebaik ternampak api, saya terus mencapai kain untuk membasahkan bumbung rumah namun gagal.

"Api terlalu marak hingga menyebabkan saya terpaksa meminta bantuan jiran," katanya, hari ini.

Kesedihan Shahrul Nizam dikongsi bapanya, Ibrahim Kadir, 65, yang masih terkejut apabila mendapati rumah didiami sejak 42 tahun lalu musnah terbakar.

Menurutnya, perkakas elektrik dan barangan penting termasuk wang simpanan anaknya tidak dapat diselamatkan.

"Saya rasa amat sedih kerana rumah ini banyak kenangan bersama arwah isteri yang meninggal dunia akibat sakit jantung dua tahun lalu.

"Terima kasih juga kepada semua pihak yang prihatin dan menyalurkan sumbangan," katanya sambil memaklumkan mereka sekeluarga tinggal sementara di rumah saudara.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba PBK II, Fadhil Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.45 malam sebelum 20 pegawai dan anggota berserta dua jentera dari Balai Bomba Alor Gajah dan Ayer Keroh bergegas ke lokasi.

"Kebakaran dapat dikawal kira-kira jam 9.08 malam dan api berjaya dipadam sepenuhnya 11.09 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 3:07 PM