DUA buah rumah di Kampung Gajah Mati di Mersing Johor musnah dalam kejadian kebakaran yang turut mengorbankan 12 ekor kucing. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
DUA buah rumah di Kampung Gajah Mati di Mersing Johor musnah dalam kejadian kebakaran yang turut mengorbankan 12 ekor kucing. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
Mohamad Fahd Rahmat


Mersing: Kegembiraan 31 sekeluarga pulang beraya di kampung bertukar duka apabila dua rumah mereka di Kampung Gajah Mati di sini musnah terbakar yang turut mengorbankan 12 kucing kesayangan semalam.

Mangsa, Zawiyah Ripin, 54, berkata kejadian kira-kira 4.45 petang itu berpunca daripada tempat memasak di bengkel membuat ketupat palas yang terletak di bahagian tengah antara dua buah rumah terbabit.

Ibu tunggal lima anak itu berkata, api marak dengan cepat hingga menyebabkan rumah mereka yang diperbuat daripada dinding separuh kayu dan batu itu musnah dalam dalam masa kira-kira 10 minit.

"Ketika itu ahli keluarga sedang memasak ketupat palas. Apabila api tiba-tiba marak di dapur saya terus bergegas mencabut kepala gas dapur namun api gagal dikawal dan merebak ke dinding kayu.

"Ahli keluarga lain yang sedang berehat lari menyelamatkan diri dan kenderaan apabila api semakin marak.

"Selain rumah musnah, 12 kucing kesayangan saya yang dikurung di dalam sangkar tak dapat diselamatkan dan mati dalam kebakaran itu," katanya.

Katanya yang juga pesakit kanser payudara tahap tiga, menganggarkan kerugian ditanggung termasuk mesin dan perkakasan di bengkel dan kedua buah rumah melebihi RM100,000.

Katanya, rumah itu dibina hasil bantuan Baitulmal sejak 2016 dan sebuah lagi milik ibu, Meriam Yakob, 85, yang juga ibu tunggal dan tidak boleh berjalan kerana uzur serta lemah jantung.

"Saya berniat mahu membuat ketupat palas itu dan sedekahkan kepada orang yang tak dapat balik beraya," katanya yang kini menumpang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Penghulu Mukim Jemaluang di sini.

Terdahulu, Zawiyah dikunjungi wakil Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Makmur Negeri Johor Cawangan Mersing, Azhar Zainal Abidin yang turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 2:21 PM