Muhammad Fahmi menunjukkan kawasan kebakaran bermula.
Muhammad Fahmi menunjukkan kawasan kebakaran bermula.

Klang: “Dalam tempoh lima minit, api marak memusnahkan seluruh rumah dan saya bersyukur kerana sempat menyelamatkan semua ahli keluarga termasuk ibu yang sedang tidur,” kata Muhammad Fahmi Sabidin, 27.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam semalam itu, rumah pusaka peninggalan arwah bapanya musnah dalam kebakaran bersama pakaian raya keluarganya di Kampung Bukit Kapar, Kapar, dekat sini.

Ia turut memusnahkan bengkel kereta berdekatan, selain dua kereta yang membabitkan kerugian hampir RM120,000.

Muhammad Fahmi berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Nursyuhada Mohd Hairi, 27, dan ibunya, Mariah Bahari, 74, serta dua anak baru pulang ke rumah selepas berbuka puasa di sekitar daerah ini, kelmarin.

“Selepas tiba di rumah pada jam 11.50 malam itu, saya yang baru baring untuk tidur terkejut terdengar bunyi kuat seperti ribut.

“Saya menuju ke dapur dan mendapati mesin basuh terbakar sebelum api marak menjulang ke bumbung rumah,” katanya, semalam.

Menurutnya, walaupun rumah itu rentung dijilat api, dia bersyukur semua ahli keluarganya selamat.

Kata Muhammad Fahmi, sambutan Aidilfitri kali ini mungkin tidak meriah kerana semua baju raya mereka musnah menjadi abu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang Zaidi Ahtan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.51 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 4:43 AM