KEADAAN api yang marak memusnahkan kediaman di Kampung Sungai Petai. IHSAN BOMBA
KEADAAN api yang marak memusnahkan kediaman di Kampung Sungai Petai. IHSAN BOMBA
Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: "Sebaik menyedari rumah terbakar, kami seakan tergamam dan kaku seketika. Syukur, jeritan jiran membuatkan kami tersedar sebelum keluar menyelamatkan diri," kata mangsa kebakaran, Mohd Faizal Abu Hasan, 38.

Pada kejadian jam 7 malam semalam, rumah dihuni Mohd Faizal di Kampung Sungai Petai di sini, musnah terbakar.

Menurut bapa kepada dua anak berusia enam dan tujuh tahun itu, ketika kejadian, kesemua tujuh ahli keluarganya termasuk isteri, ibu mentua, adik ipar serta ibu saudaranya berada di ruang tamu menonton televisyen.

Katanya, dia dan keluarga langsung tidak menyangka rumah pusaka arwah bapa mentua yang menjadi tempat mereka berteduh tiba-tiba terbakar.

"Kebakaran berlaku begitu pantas, ketika itu kami sedang menonton televisyen dan tiba-tiba sahaja terdengar bunyi seakan kayu terbakar sebelum api marak di ruang hadapan rumah.

"Kami sekeluarga bagaikan kebingungan ketika itu. Jiran terus menjerit menyuruh kami menyelamatkan diri. Saya dan anak-anak hanya berseluar kerana tidak sempat mencapai baju kerana api marak," katanya.

Menurutnya, walaupun dia kurang sihat kerana mengalami sakit kaki namun dia menggagahkan diri berlari keluar.

"Walaupun kami tinggal sehelai sepinggang namun saya bersyukur kerana kami selamat.

"Anggota bomba maklumkan, hanya tabung berisi syiling yang selamat," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 7.13 malam sebelum tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Alor Gajah, Cheng dan Tangga Batu digerakkan ke lokasi kejadian.

"Seramai 16 anggota membantu memadam kebakaran yang berjaya dikawal kira-kira 40 minit kemudian. Operasi tamat jam 10.34 malam namun punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 10:46 AM