ANGGOTA bomba memadam sisa bara di kedua-dua rumah mangsa di Lorong Zakaria, Jalan Alor Gajah, yang musnah terbakar hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
ANGGOTA bomba memadam sisa bara di kedua-dua rumah mangsa di Lorong Zakaria, Jalan Alor Gajah, yang musnah terbakar hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: "Saya cuba padam api dengan selimut basah dan simbah air, namun ia tidak padam dan makin marak.

"Kemudian jiran datang dan menyuruh kami menutup suis utama dan segera keluar dari rumah selamatkan diri," kata mangsa kebakaran, Muhammad Ridzuan Jasmi, 17.

Dalam kejadian kira-kira 11.20 pagi itu, lapan individu daripada dua keluarga berusia empat hingga 58 tahun nyaris rentung selepas dua rumah kayu didiami mereka di Lorong Zakaria, Jalan Alor Gajah, di sini, hangus terbakar.

Muhammad Ridzuan berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di ruang tamu sebelum dikejutkan oleh seorang daripada lima anak saudaranya memberitahu bahagian dapur rumah terbakar.

"Waktu kejadian hanya saya menjaga lima anak abang yang keluar bekerja di sebuah restoran bersama isteri dan anak sulungnya.

"Mujurlah seorang anak saudara bersarapan dan perasan dapur terbakar, kalau tidak tak tahulah apa nasib kami sekeluarga.

"Namun, tiada apa yang sempat diselamatkan termasuk dua motosikal kerana api marak begitu cepat," katanya ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Difahamkan rumah berkenaan disewa daripada jiran sejak empat tahun lalu dengan bayaran RM500 sebulan.

Sementara itu, jirannya yang turut tinggal sehelai sepinggang, Asnita Asmadi,20, berkata, dia dan ibunya, Romaiza Muhamat, 58, yang menghidap pelbagai komplikasi penyakit termasuk diabetes bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri.

Katanya, sewaktu kejadian bapanya, Asmadi Cha, 56, keluar membaiki kereta manakala dia sedang bersiap untuk makan tengah hari sebelum terhidu bau asap.

"Mulanya saya ingatkan asap daripada sampah yang dibakar sebelum terkejut mendengar jeritan anak-anak jiran memberitahu dapur rumah mereka terbakar.

"Saya tak jadi makan dan berlari masuk ke dapur jiran sebelum melihat api sedang marak membakar dinding.

"Dalam keadaan cemas itu saya minta mereka tutup kotak suis elektrik utama dan segera kosongkan rumah bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Menurutnya, anak jirannya cuba memadamkan api tetapi disebabkan struktur rumah daripada kayu menyebabkan kedua-dua rumah musnah terbakar dalam masa singkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 7:37 PM