DOUGLAS Uggah pada sidang media berhubung kes Covid-19 di Dewan Undangan Negeri Lama, Petra Jaya Kuching. FOTO Nadim Bokhari
DOUGLAS Uggah pada sidang media berhubung kes Covid-19 di Dewan Undangan Negeri Lama, Petra Jaya Kuching. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

SARAWAK bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tetapi prosedur operasi standard (SOP) harus ditetapkan mengikut kesesuaian dengan keadaan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ketika ini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sedang meneliti SOP yang bersesuaian agar difahami pihak berkepentingan.

Beliau yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, selepas semua pihak berkepentingan memahami sepenuhnya SOP itu, sektor ekonomi tertentu akan dibenarkan beroperasi semula.

"Apabila operasi sektor perniagaan itu bermula, kita perlu melakukan pemantauan, penyeliaan dan penguatkuasaan dengan teliti.

"Kita memperkenalkan SOP dan kita harus memiliki keupayaan untuk melaksanakannya," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Uggah berkata, ketika ini JPBNS sedang meneliti sektor perniagaan yang akan dibenarkan beroperasi semula mengikut kategori zon kerana 70 peratus daripada kawasan di Sarawak ketika ini dikategorikan sebagai zon hijau.

"JPBNS akan mengkaji sektor ekonomi yang boleh beroperasi semula di zon hijau dan jenis sektor yang perlu dikawal operasinya di zon merah serta zon kuning," katanya.

Katanya lagi, Sarawak mematuhi SOP yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan, namun pada masa sama perlu melihat kesesuaiannya dengan Sarawak dan keutamaan kerajaan negeri kini hanyalah keselamatan dan kesihatan rakyat.

"Memang isu ekonomi dan kesukaran yang dihadapi rakyat cukup penting tetapi kesihatan rakyat juga sepatutnya yang lebih diutamakan.

"Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg) mempunyai pelan strategi untuk membuka semula sektor ekonomi di negeri ini secara berperingkat dan beliau akan terus mengumumkan cara untuk kita membuka semula beberapa sektor ekonomi," katanya.

Sementara itu, dua lagi kes positif Covid-19 dilaporkan di negeri ini hari ini menjadikan jumlah keseluruhan disahkan dijangkiti pandemik itu kepada 525 orang sejak kes pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 6:54 PM