Etnik Rohingya.
Etnik Rohingya.
KAFE AHAD

Malaysia sememangnya terkenal dengan negara yang mesra dengan semua pihak terutama dalam layanan kepada pelarian atau migran.

Kini, wujud cadangan untuk meletakkan pelarian atau migran ini dalam sektor pekerjaan, sekali gus mampu memberi pendapatan baharu buat negara dengan pembayaran levi tahunan.

Walaupun cadangan itu mendapat maklum balas pelbagai daripada banyak pihak namun ia akan memberi landskap baharu kepada pelarian di negara ini.

Untuk mendapatkan gambaran lebih jelas, wartawan Kafe Ahad, MUHAMMAD SAUFI HASSAN mewawancara Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) DATUK HISHAMUDDIN HASHIM berkaitan isu ini.

Ada cadangan etnik Rohingya diizin bekerja di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar). Komen?

Dalam cadangan untuk meletakkan pekerja asing khususnya Rohingya bagi kerja-kerja 3D ini, saya selalu berkata bahawa apa sektor sekalipun, penggajian peluang pekerjaan harus diberikan keutamaan untuk warganegara.

Bagaimanapun, kita perlu terima hakikat bahawa warga tempatan tidak berminat untuk sektor 3D dan walaupun ada dalam kalangan warga tempatan yang bekerja dalam segmen ini, namun jumlahnya terlalu sedikit.

Jika ingin dibandingkan dengan jumlah kekosongan dan pengisian pekerjaan warga tempatan, ia mempunyai jurang terlalu besar.

Seperti yang saya katakan, setiap perkara itu ada pro dan kontranya namun kita boleh meminimumkan kesan kontra dengan pendekatan yang lebih bijaksana serta holistik.

Ketika ini, ada ratusan ribu etnik Rohingya di Malaysia. Ada juga yang memonopoli pekerjaan tertentu selain mendominasi kawasan seperti di Bukit Malut, Langkawi. Cadangan ini umpama menarik lebih ramai etnik Rohingya untuk menyeludup masuk ke Malaysia.

Kita perlu faham ada dua isu yang sangat berbeza iaitu menguruskan pendatang asing atau pelarian dan menguatkuasakan perundangan.

Isu kemasukan pelarian ini, kita tidak pernah berkompromi bahawa kerajaan perlu pada setiap masa menguatkuasakan perundangan, menjaga sempadan negara dan sentiasa memberi perhatian serius soal kedaulatan.

Namun, hari ini, kita bercakap tentang aspek pengurusan warga asing serta pelarian yang sudah berada di negara kita, mereka sudah ada dalam negara ini, jadi apa tindakan kita untuk menguruskan mereka.

Oleh demikian, saya mencadangkan kepada warga asing dan pelarian Rohingya ini untuk diterima dalam sektor pekerjaan 3D, sekali lagi saya tegaskan bahawa sektor pekerjaan dan bukannya menceburi perniagaan yang boleh menjadi persaingan kepada rakyat tempatan.

Apa yang rakyat tempatan marah tentang warga asing pada hari ini adalah mereka menjadi pesaing kepada orang tempatan apabila pelarian atau warga asing ini memulakan perniagaan seperti kedai baju, bengkel, kedai makan dan sebagainya.

Jika warga asing dan pelarian ini hanya digunakan untuk sektor pekerjaan saja, saya yakin rakyat tempatan tidak akan marah dan ini juga yang saya tegaskan.

Kita tidak berkompromi dalam aspek ini iaitu mereka menceburi bidang perniagaan, ini tidak boleh. Kalau kita gunakan mereka sebagai pekerja, itu tidak mengapa sekurang-kurangnya kita sudah menguruskan warga asing yang sudah berada dalam negara ini.

Tidak mustahil, jika diberi peluang bekerja di sektor 3D, satu hari nanti, etnik Rohingya ini akan terbabit dalam perniagaan berkenaan seterusnya menjadi kontraktor pula. Ia berlaku di pasar borong di ibu kota.

Sebenarnya bukan etnik Rohingya saja yang terbabit dengan perniagaan, migran negara lain juga ada terbabit.

Contoh, warga Bangladesh dengan penjualan pakaian, warga Pakistan dengan perniagaan tudung, masyarakat Aceh dengan kedai runcit dan saya fikir, kita perlu adil dalam menekuni masalah ini.

Warga asing berpotensi terbabit dalam perniagaan dan perkara yang perlu dilakukan adalah menguatkuasakan undang-undang dan jika mereka ini melakukan kesalahan, tangkap serta tuduh di mahkamah.

Contoh, jika mereka menyalahgunakan permit pas pekerjaan seperti mereka sepatutnya bekerja di sektor pembinaan, pembuatan dan sebagainya namun melakukan kerja lain, tahan mereka, batalkan permit dan usir mereka.

Itu adalah kesalahan jelas mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen iaitu menyalahgunakan pas pekerjaan.

Memang ada risiko jika kita keluarkan pas dan penyalahgunaan itu berlaku namun apa yang penting adalah menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

Kenapa pembayar cukai perlu menanggung hidup etnik Rohingya yang bertaraf pelarian ini? Jika diberi peluang untuk bekerja di sektor 3D, ia akan mengurangkan beban kerajaan. Adakah ini pendapat yang wajar?

Ya saya sangat suka dengan soalan ini, mereka tinggal tanpa ada dokumen, jika kita ingin usir mereka, Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya ini adalah sebahagian rakyat mereka, jadi di situ ada konflik yang jelas.

Cara terbaik adalah meletakkan mereka sebagai pekerja sektor 3D, jika mereka sebagai pekerja, mereka atau syarikat yang mahu mendapatkan khidmat mereka perlu membayar levi tahunan RM1,800 setiap seorang.

Cuba kita kira, andaikan pelarian Rohingya yang ada di negara ini adalah 100,000 orang dan mereka masuk ke bidang pekerjaan, kerajaan akan dapat pendapatan tambahan iaitu RM180 juta hasil daripada pembayaran levi secara tahunan.

Ini yang cuba kita ketengahkan bahawa kita perlu menguruskan pelarian ini daripada kita membiarkan mereka tanpa ada sumbangan ia seeloknya dimasukkan dalam segmen pekerjaan, secara tidak langsung negara mendapat pendapatan.

Sektor 3D pendapatannya kecil selain kerjanya mungkin 'menjijikkan'. Tidak mampu menarik warga tempatan. Bagaimana mahu menjadikan ia pekerjaan yang menarik serta berdaya maju.

Saya sebenarnya ingin menyeru kepada majikan dalam segmen 3D ini supaya menaiktaraf sistem penggajian atau membuat nilai tambah dalam sektor pekerjaan mereka supaya ia menarik perhatian pekerja tempatan.

Jika kita perhatikan di negara barat, mereka melaksanakan pertanian berasaskan kepada teknologi, contohnya penanaman rock melon, mereka gunakan kemudahan Internet Kebendaan (IoT) dan semuanya dikawal dengan aplikasi atau perisian.

Ini akan mengubah landskap pekerjaan 3D, sekali gus menarik minat pekerja tempatan dan pekerja asing boleh mengisi sektor asas dalam bidang itu.

Warga tempatan masih memilih kerja. Satu hari nanti, warga tempatan akan merintih di bumi sendiri kerana tidak mustahil, pekerjaan yang ada diisi orang asing.

Isunya mudah untuk difahami iaitu pokok pangkalnya adalah gaji. Mengapa rakyat tempatan boleh petik epal di negara lain tetapi tidak boleh mengait kelapa sawit di negara sendiri.

Isunya adalah gaji di negara lain lebih lumayan. Kita janganlah bandingkan warga asing dan warga tempatan, standard of living itu sangat berbeza.

Rakyat tempatan mempunyai ahli keluarganya di sini dan kos sara hidup yang tinggi, kita tidak boleh salahkan 100 peratus semuanya salah rakyat tempatan yang memilih pekerjaan.

Jadi, kita perlu memikirkan secara bersama untuk menaikkan tangga gaji dengan melakukan tambah nilai dalam pekerjaan itu seperti kemudahan jentera serta teknologi dan sebagainya.

Noor Nirwandy.
Noor Nirwandy.

Perlu tapisan keselamatan

Setiap migran atau pelarian yang diserap masuk sebagai pekerja perlu melalui tapisan keselamatan kerana dibimbangi ada dalam kalangan mereka terbabit secara aktif dalam gerakan kumpulan pengganas.

Mendedahkan perkara itu, Felo Kanan Institut Keamanan Global (GPI) London, United Kingdom (UK) Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam menjelaskan tidak mustahil bahawa ada dalam kalangan migran atau pelarian, khususnya etnik Rohingya terbabit dalam gerakan Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA).

"Cadangan untuk meletakkan pelarian atau migran ini dalam pekerjaan 3D adalah baik namun perlu kepada proses tapisan keselamatan supaya pihak berkuasa dapat melakukan penjejakan profil.

"Kaedah ini akan memudahkan pihak berkuasa untuk memantau dan mengambil tindakan supaya sebarang anasir subversif itu dapat dihentikan di peringkat awal kerana ia mampu menggugat keamanan negara," katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga perlu menjalinkan kerjasama dengan agensi keselamatan lain seperti Polis Antarabangsa (Interpol) untuk meneliti sebarang profil yang berkemungkinan terbabit dalam kegiatan keganasan.

"Pada hari ini, kita menghadapi masalah untuk melakukan penjejakan migran ini kerana tidak mempunyai pangkalan data yang lengkap, jadi, jika mereka dimasukkan sebagai pekerja, ia memerlukan dokumentasi dan rekod.

"Ini baik buat pihak berkuasa kerana kita akan memiliki satu pangkalan data yang lengkap sekali gus mampu untuk menapis mana-mana migran yang terbabit secara aktif dengan kumpulan militan," katanya.

Seorang lagi penganalisis keselamatan, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kerajaan perlu memikirkan satu had dalam perundangan jika berhasrat untuk meletakkan pelarian Rohingya ini dalam sektor pekerjaan.

Menurutnya, ia mempunyai kesan jangka panjang dan suatu langkah kawalan keselamatan perlu difikirkan untuk menjamin tahap keselamatan di dalam negara khususnya membabitkan rakyat tempatan.

"Saya mencadangkan supaya satu sistem pengawalan zon dan masa diperkenalkan untuk mana-mana migran yang masuk dalam bidang pekerjaan supaya keselamatan rakyat tempatan lebih terjamin.

"Ini membawa maksud, pihak berkuasa atau kerajaan perlu menentukan di mana penempatan mereka, jam berapa mereka boleh keluar, waktu mana dibolehkan untuk beriadah dan sebagainya.

"Ia adalah langkah strategik supaya memastikan keselamatan negara kekal pada tahap tertinggi tanpa kompromi," katanya.

Beliau berkata, semua pihak pastinya tidak mahu melihat anasir-anasir luar masuk ke dalam negara dan ia menjadi hujah paling relevan mengapa pengawalan keselamatan ini perlu difikirkan sebelum memasukkan migran ini dalam sektor pekerjaan.

Mohd Mizan Aslam.
Mohd Mizan Aslam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 10:00 AM