NORUL Hanim  (kiri) membuat panggilan video dengan abangnya, Azhar (kanan) bersama kakaknya, Fazillah (tengah). FOTO Ihsan Norul Hanim Mohamad
NORUL Hanim (kiri) membuat panggilan video dengan abangnya, Azhar (kanan) bersama kakaknya, Fazillah (tengah). FOTO Ihsan Norul Hanim Mohamad
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Selepas tujuh hari diintubasi, Azhar Mohamad, rakyat Malaysia yang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Chungbuk National University, Cheonjung, Korea Selatan akibat strok bahagian kanan badan sudah kembali sedar.

Khabar gembira itu dikongsikan adiknya, Norul Hanim Mohamad, 34, yang berpeluang melihat keadaan abangnya, Azhar, 37, menerusi panggilan video bermula 11.15 hingga 11.45 pagi tadi.

Katanya, panggilan video turut disertai kakaknya, Nora Mohamad 44 dan Norazlin Mohamad, 46.

"Doktor tidak boleh cakap bahasa Melayu jadi minta saya dan ahli keluarga lain buat panggilan video.Apabila dengar suara saya, kakinya bergerak dan saya terus cakap dengannya.

"Nampak dia (abang) faham kerana akhirnya buka mata.Alhamdulilah, ia bermakna otaknya masih berfungsi dan tak mati lagi.

"Syukur sangat dan saya beritahu abang supaya sabar kerana keluarga sedang kumpul dana untuk membawanya pulang. Ada respon daripadanya malah dia mahu bercakap tetapi terbatuk jadi saya minta dia rehat saja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Norul Hanim, perkembangan positif Azhar memberi sedikit kelegaan buatnya sekeluarga.

Norul Hanim berharap ada peluang buat abangnya untuk sembuh, kembali ke pangkuan keluarga dengan segera dan menjalani hidup seperti dulu.

"Saya mewakili keluarga ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua rakyat Malaysia yang memberi sumbangan bagi kos rawatan abang di Korea Selatan.

"Sesungguhnya jasa baik tuan puan Allah sahaja mampu membalasnya. Saya mengharapkan tuan puan terus menyebarkan berita abang saya supaya ramai lagi rakyat Malaysia sudi membantu kerana kos perubatannya meningkat setiap hari dan dianggarkan boleh mencecah RM300,000.

"Ini kerana semalam , saya ada terima mesej daripada pihak hospital untuk menjelaskan bil sebanyak 26,284,230 won (kira-kira RM85,000) dan hari ini meningkat kepada 29,785,603 won (kira-kira RM96,901).

"Hospital beri kelonggaran bayar sedikit demi sedikit dengan syarat menjelaskan bil penuh sebelum abang keluar hospital," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Azhar yang ditemukan rakannya dalam keadaan separa sedar di rumah sewanya pada 31 Ogos lalu.

Kejadian malang itu menimpa sehari sebelum Azhar yang berasal Kuantan, Pahang menyambut ulang tahun kelahirannya pada 1 September lalu.

Berikutan itu, Azhar dimasukkan ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut dan turut menjalani prosedur 'craniactomy' iaitu membuka sebahagian tempurung kepala bagi mengeluarkan darah beku serta memberi ruang bahagian otak yang membengkak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 11:02 PM