ANTARA sembilan wanita warga asing yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan tidak bermoral. FOTO Ihsan Polis
ANTARA sembilan wanita warga asing yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan tidak bermoral. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Bentong: Sembilan wanita warga asing ditahan selepas dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Genting Highlands, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya membuat serbuan di lokasi berkenaan 11.50 malam tadi selepas menerima maklumat daripada orang awam.

"Dalam serbuan dilakukan, kami memeriksa sebuah bilik yang didapati terdapat sembilan wanita warga asing berusia antara 25 hingga 36 tahun sedang leka berhibur sambil minum minuman keras.

"Hasil pemeriksaan dilakukan menemui tiga peket lut sinar berisi ketulan serbuk kristal disyaki dadah ketamin seberat 2.25 gram dan dua peket plastik dipercayai dadah syabu seberat 22.75 gram dianggarkan bernilai RM750.

"Pemeriksaan lanjut dilakukan menemui satu beg plastik mengandungi 16 kondom dipercayai digunakan untuk kegiatan tidak bermoral," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati lapan daripada sembilan wanita terbabit positif dadah jenis methaphetamin.

"Semua suspek direman selama 14 hari bermula hari ini hingga 16 September nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama selain Seksyen 372(B) Kanun Keseksaan.

"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(C) dan Seksyen 6(1)(C) akta sama," katanya.

Beliau memberi amaran keras bahawa polis tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah atau mana-mana kegiatan jenayah di daerah itu dengan mengambil tindakan tegas.

"Kita juga merakamkan terima kasih kepada penduduk di daerah ini yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

"Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis terutamanya berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah, kegiatan jenayah dan lain-lain," katanya.

ANTARA sembilan wanita warga asing yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan tidak bermoral dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Genting Higlands, Bentong, semalam.

From: No'Rule

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 9:41 PM