POLIS Bentong menumpahkan sindiket memperdagangkan dan penyeludupan manusia di Genting Highlands. FOTO Ihsan PDRM BENTONG
POLIS Bentong menumpahkan sindiket memperdagangkan dan penyeludupan manusia di Genting Highlands. FOTO Ihsan PDRM BENTONG
RoselanAb Malek


Bentong: Polis menumpaskan sindiket memperdagang dan penyeludupan manusia susulan penahanan tiga lelaki dipercayai menjadi dalang kegiatan itu di Genting Highlands, dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, ketiga-tiga lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 52 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah apartment oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, pada 8 malam.

"Dalam serbuan itu polis berjaya menumpaskan kegiatan maksiat yang dipercayai mengeksploitasi wanita warga asing.

"Polis turut menyelamatkan empat wanita warganegara asing berusia antara antara 26 hingga 41 tahun," katanya hari ini.

Zaiham berkata, polis turut merampas 10 telefon bimbit pelbagai jenama, dua kereta Nissab Almeera dan Toyota Vios, wang tunai RM 2,156, enam kondom pelbagai jenis, enam kad sim telefon dan tiga beg pelbagai jenama.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 12, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan ditahan reman sehingga 21 Januari depan.

Katanya, hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah.

Zaiham berkata, empat wanita warga asing itu kemudian dihantar ke rumah perlindungan di Kuala lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 8:52 PM