30 individu berhibur sambil menghisap dadah ketika menghadiri parti liar di sebuah rumah banglo yang disewa di kawasan Genting Sempah diserbu polis semalam. FOTO ihsan PDRM
30 individu berhibur sambil menghisap dadah ketika menghadiri parti liar di sebuah rumah banglo yang disewa di kawasan Genting Sempah diserbu polis semalam. FOTO ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 30 individu yang leka berhibur sambil menghisap dadah pada parti liar dijalankan di sebuah banglo disewa di kawasan Genting Sempah, Bukit Tinggi, Bentong, Pahang dekat sini, ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya dimaklumkan berkaitan parti liar itu jam 4.45 pagi sebelum menyerbu lokasi.

"Kami merampas dadah jenis Methamphetamine, ketamin dan ganja dengan nilai keseluruhan RM3,750.

"Individu ditahan membabitkan 29 warga tempatan dan seorang warganegara asing terdiri daripada 17 lelaki serta 13 wanita berusia 20 tahun hingga 35 tahun," katanya.

Menurut beliau, ujian saringan air kencing mendapati, 15 lelaki dan 10 wanita positif Methamphetamine manakala seorang wanita positif ketamin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39a(1) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6 ADB 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen.

"Warga tempatan terbabit dikompaun kerana menjalankan aktiviti yang menyebabkan orang ramai hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

"Kami juga akan terus menjalankan operasi cegah penagihan dadah di daerah ini dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 2:07 PM