ANTARA barangan yang dirampas dalam tangkapan terhadap seorang lelaki di R&R Genting Sempah, dekat Bentong, semalam. - FOTO Ihsan Polis
ANTARA barangan yang dirampas dalam tangkapan terhadap seorang lelaki di R&R Genting Sempah, dekat Bentong, semalam. - FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Bentong: Seorang lelaki ditahan bersama 4,565 gram dadah jenis heroin dianggarkan bernilai lebih RM37,000 dalam tangkapan di hentian dan rawat (R&R) Genting Sempah, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan semasa berada di dalam sebuah kereta di lokasi terbabit jam 2.05 petang, semalam.

"Hasil pemeriksaan dilakukan menemui satu beg mengandungi 10 peket plastik berisi serbuk dan ketulan warna keperangan disyaki dadah jenis heroin.

"Dalam tangkapan itu, polis merampas 4,556 gram dadah disyaki jenis heroin dianggarkan bernilai RM37,889 yang boleh digunakan seramai 2,240 penagih dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, semakan dilakukan mendapati suspek berkenaan mempunyai 18 rekod jenayah membabitkan kes dadah.

"Lelaki terbabit direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 13 Februari nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 7:12 PM