Superintendan Zaiham Mohd Kahar (dua dari kiri) menunjukkan peralatan digunakan bagi memecah kereta dan premis serta barangan lain yang dirampas daripada suspek dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong. FOTO IHSAN PDRM
Superintendan Zaiham Mohd Kahar (dua dari kiri) menunjukkan peralatan digunakan bagi memecah kereta dan premis serta barangan lain yang dirampas daripada suspek dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong. FOTO IHSAN PDRM
Mohd Rafi Mamat


Bentong: Seorang lelaki bukan sahaja ditemani isteri, malah turut membawa dua anaknya yang berusia tiga dan empat tahun ketika melakukan jenayah pecah kereta dan premis di sekitar Genting Highlands di sini.

Suspek turut menggunakan taktik menyewa kenderaan dan mendaftarkannya dalam perkhidmatan e-hailing bagi mengelak jenayahnya dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun kegiatan suspek berakhir apabila polis berjaya mengesan dan menahannya di sebuah stesen minyak di Klang, Selangor pada 2 Disember lalu manakala isterinya ditahan kelmarin ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaan dipandunya menemukan barang curi dan suspek mengaku melakukan dua jenayah curi dalam bangunan dan tiga pecah kenderaan di kawasan Genting Highlands.

"Antara barang dirampas ialah wang tunai RM400, perkakasan audio kenderaan, lima telefon bimbit, tiga beg, pelbagai kunci, walki talkie dan beg kulit selain beberapa peralatan seperti pemotong wayar, pisau, gerudi serta sebuah kereta Perodua Bezza yang disewa suspek turut disita.

"Penangkapan suspek berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah kedai dan pecah kenderaan di kawasan pentadbiran IPD Bentong dengan jumlah kerugian keseluruhan kira-kira RM10,000," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Katanya, turut ditemukan bersama suspek ialah tiga plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu dan satu plastik lutsinar yang terdapat ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja.

Menurutnya, suspek lelaki yang berusia 31 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari manakala suspek wanita berusia 33 tahun direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek lelaki turut disiasat mengikut Seksyen 6, 12 (2) serta 15(1) (A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam pada itu katanya, berdasarkan siasatan mendapati suspek mula melakukan aktiviti jenayah sejak kebenaran rentas negeri November lalu dengan mensasarkan kawasan peranginan Genting Highlands.

"Dalam tempoh berkenaan suspek mencuri barangan dalam tujuh kenderaan dengan cara memecahkan cermin dan mengumpil kunci kenderaan yang dilakukan pada waktu malam selain memecah masuk dua kiosk di Genting Highlands," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 5:05 PM