GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Polis menahan seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan kes dera pembantu rumah warga Indonesia di sebuah rumah di Batu Caves, di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, suspek berusia 35 tahun terbabit ditahan kelmarin.

Menurutnya, sebelum itu polis menerima laporan daripada mangsa berusia 46 tahun yang mendakwa didera majikannya iaitu pasangan suami isteri, sejak bekerja pada Oktober 2019.

"Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira jam 5 petang, pada 31 Ogos lalu selepas berjaya melarikan diri dari rumah majikannya itu.

"Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek direman lima hari bermula kelmarin sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom 2007).

Tambahnya, polis akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memastikan siasatan lengkap dari pelbagai sudut bagi tujuan pendakwaan terhadap suspek.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Mohd Reezal Mohammad@Mohd Zain di talian 03-61262222 atau 013-3479809.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita warga Indonesia berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki demi mengubah nasib keluarga di kampung, namun diperlakukan dengan kejam dan dipercayai akibat didera majikan sejak tiga tahun lalu.

Wanita berusia 46 tahun itu bukan saja 'dikurung' dan dipantau ketat, malah ditampar dan dicederakan menggunakan kayu di muka sehingga mengakibatkan lebam selain bekerja secara 'percuma' tanpa bayaran.

Mangsa turut didakwa disimbah air panas sehingga melecur di belakang badannya mengakibatkan berat badannya menyusut sehingga 30 kilogram (kg) akibat kekurangan zat.

Susulan itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dilaporkan berkata, beliau sudah mengarahkan JTKSM untuk menyiasat perkara itu.

Beliau dilaporkan berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati mangsa tidak dibayar gaji oleh majikannya sejak mula bekerja dari 2019 dengan nilai tunggakan hampir RM32,000.

Justeru, katanya, kementerian tidak akan melindungi identiti mana-mana majikan yang didapati bertindak di luar batas kemanusiaan meskipun masih di dalam peringkat siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 1:53 PM