GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Polis menahan seorang majikan berusia 39 kerana dipercayai mendera dan tidak membayar gaji pekerjanya seorang lelaki warganegara India sejak setahun setengah lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (D3, JSJ) Bukit Aman dibantu JSJ IPD Port Dickson membuat serbuan di sebuah premis kedai perniagaan di Jalan Dato Pathmanaban, Bandar Port Dickson.

"Serbuan dilakukan semalam pada jam sekitar 7 malam dan polis berjaya menahan seorang pemilik kedai yang berada di belakang premis.

"Pemeriksaan lanjut di dalam kedai bahagian belakang, polis menyelamatkan seorang lelaki warganegara India berumur 27 tahun yang disyaki didera dan tidak dibayar gaji oleh majikannya," katanya dalam satu kenyataan media di sini tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa bekerja lebih kurang selama 1 tahun 6 bulan.

"Siasatan awal mendapati dalam tempoh itu mangsa tidak dibayar gaji, dipukul dan pasport dipegang majikannya.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan milik majikan menemukan pasport milik mangsa dan dirampas untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Aidi Sham berkata, turut dirampas adalah dua telefon bimbit, salinan lesen perniagaan, serangkai anak kunci premis, tali, kayu rotan dan tali pinggang yang disyaki digunakan untuk memukul mangsa.

"Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa dapati terdapat kesan kecederaan di bahagian telinga, luka di jari dan pergelangan tangan.

"Mangsa bersama majikannya serta barang rampasan dibawa ke IPD Port Dickson untuk tindakan lanjut," katanya.

Tambah beliau, suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 14 Ogos ini.

"Manakala mangsa dibenarkan Interim Protection Order (IPO) selama 21 hari dan akan ditempatkan di Rumah Perlindungan Melaka.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 15 tahun ataupun denda," katanya.

tambahnya.

TAMAT

#kw, majikan ditahan, dera pekerja, warga asing, India, reman lima hari, ipd port dickson

From: Mohd Khidzir

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 10:42 PM