SARAVANAN. FOTO Arkib NSTP
SARAVANAN. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak akan melindungi identiti mana-mana majikan yang didapati bertindak di luar batas kemanusiaan meskipun masih di dalam peringkat siasatan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya percaya dengan usaha itu, majikan akan lebih peka atas tindakan yang diambil terhadap pekerja mereka.

"Saya dimaklumkan mengenai satu kes membabitkan pembantu rumah yang bukan sahaja tidak dibayar gaji tetapi turut menjadi mangsa dera.

"Mangsa adalah seorang wanita warga Indonesia yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Selayang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saravanan berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk menyiasat perkara itu.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati mangsa tidak dibayar gaji oleh majikannya sejak mula bekerja dari 2019 dengan nilai tunggakan hampir RM32,000.

"Majikan yang disyaki adalah pasangan suami isteri di Batu Caves, Selangor," katanya.

Beliau berkata, kes seperti itu adalah insiden yang perlu diberi perhatian serius kerana ia menjejaskan imej negara.

"Oleh itu, saya mengingatkan majikan untuk tidak bersikap dan bertindak di luar perikemanusiaan terhadap pekerja mereka.

"KSM tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan dan penindasan terhadap pekerja tidak kira warga tempatan mahupun asing.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya majikan didapati gagal mematuhi perundangan perburuhan termasuk perbuatan yang bercanggah elemen-elemen buruh paksa," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita warga Indonesia berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki demi mengubah nasib keluarga di kampung, namun diperlakukan dengan kejam dipercayai akibat didera majikan sejak tiga tahun lalu.

Wanita berusia 46 tahun itu bukan sahaja 'dikurung' dan dipantau ketat, malah ditampar dan dicederakan menggunakan kayu di muka sehingga mengakibatkan lebam selain bekerja secara 'percuma' tanpa bayaran.

Mangsa turut didakwa disimbah air panas sehingga melecur di belakang badannya mengakibatkan berat badannya menyusut sehingga 30 kilogram (kg) akibat kekurangan zat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 12:29 AM