GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dipukul, ditampar dan pernah dicederakan di bahagian tangan dengan seterika. Itu nasib menimpa seorang pembantu rumah warga asing yang didera oleh majikannya sebelum diselamatkan pihak polis selepas menerima laporan, 23 April lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan yang mengesyaki jirannya mendera pembantu rumah di sini, 12.50 tengah hari, 23 April lalu.

"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati wanita warga asing berusia 39 tahun itu mengalami kecederaan serius iaitu melecur hampir seluruh badan dan lebam di kedua-dua mata serta muka.

"Mangsa yang bekerja sebagai pembantu di rumah berkenaan selama hampir setahun enam bulan menyatakan sering dipukul, ditampar dan pernah dicederakan oleh majikannya di bahagian tangan dengan seterika," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, mangsa sudah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kini ditempatkan di rumah perlindungan.

"Barang kes yang dipercayai digunakan oleh suspek bagi mencederakan mangsa turut dirampas bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan kes ini sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. Suspek dalam kes ini yang juga majikan mangsa iaitu pasangan suami isteri berusia 34 dan 33 tahun akan dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur esok untuk dituduh di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pemerdagangan manusia diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk memberi keterangan.

"Aktiviti jenayah lain di daerah ini juga boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 4:57 PM