Seorang wanita warga asing dikurung selama tiga hari dalam sebuah rumah dekat kawasan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, sebelum diselamatkan polis semalam. FOTO IHSAN POLIS
Seorang wanita warga asing dikurung selama tiga hari dalam sebuah rumah dekat kawasan Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, sebelum diselamatkan polis semalam. FOTO IHSAN POLIS
Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Polis menahan dua individu selepas disyaki terbabit mengurung seorang wanita warga asing dalam sebuah rumah dekat Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, semalam.

Suspek yang masing-masing seorang wanita dan lelaki warga tempatan itu ditahan antara jam 3.30 petang hingga 9.42 malam di dua lokasi berasingan sekitar Pasir Gudang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, suspek yang berusia 36 dan 38 tahun itu ditahan susulan penemuan mangsa dalam rumah berkenaan.

"Siasatan awal mendapati mangsa dijanjikan bekerja sebagai pembantu rumah, namun dikurung sementara mendapatkan pekerjaan berkenaan.

"Kita berjaya menyelamatkan mangsa selepas dia mendakwa dirinya dikurung selama tiga hari dalam rumah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Sohaimi berkata, mangsa wanita berusia 37 tahun itu diselamatkan pada jam 1.30 tengah hari, selepas polis menerima laporan dibuat pengadu yang tinggal berdekatan rumah terbabit.

"Polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 34 tahun yang melaporkan mangsa meminta bantuan pada jam 11.45 pagi kerana dikurung jirannya.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam membuat pemeriksaan dan menyelamatkan mangsa," katanya.

Beliau berkata, mangsa didapati dikurung dalam rumah yang mana pintunya berkunci dari arah luar.

Katanya, hasil semakan ke atas dua suspek itu mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Polis turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama ketika tangkapan dibuat," jelasnya.

Mohd Sohaimi berkata, kedua-dua suspek kini direman lima hari sehingga 3 September ini untuk siasatan lanjut yang dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 4:19 PM