FOTO Tular
FOTO Tular
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang wanita berusia 29 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung satu kejadian mengasari seorang bayi lelaki 12 bulan di Bandar Bestari Perdana, Pasir Gudang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, suspek wanita warga tempatan itu ditahan reman selama enam hari bermula kelmarin hingga 4 September ini.

Katanya, penahanan suspek dibuat susulan ibu kepada bayi berkenaan yang berusia 28 tahun membuat laporan polis pada 29 Ogos lalu.

"Siasatan awal mendapati kejadian yang tular di media sosial itu berlaku di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Bandar Bestari Perdana, Pasir Gudang pada jam 3.50 petang, 25 Ogos lalu membabitkan bayi lelaki warga tempatan berusia kira-kira 12 bulan.

"Bertindak atas laporan polis pengadu, suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang pada jam 2.15 petang, 29 Ogos lalu," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Mohd Sohaimi, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencingnya turut mendapati suspek negatif dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 44 saat dimuat naik di Facebook memaparkan kejadian individu mengasari seorang kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 10:27 PM