MOHAMMAD Hamdan (kanan) dan M Noor Azman (dua dari kanan) ketika meninjau Fire Point Kampung Terian sempena Majlis Perasmian Program Khidmat Bakti Bomba dan Kempen Keselematan Kebakaran. FOTO YUN MIKAIL
MOHAMMAD Hamdan (kanan) dan M Noor Azman (dua dari kanan) ketika meninjau Fire Point Kampung Terian sempena Majlis Perasmian Program Khidmat Bakti Bomba dan Kempen Keselematan Kebakaran. FOTO YUN MIKAIL
Yun Mikail


Penampang: Sebanyak 50 lokasi sudah diletakkan peti peralatan keselamatan Life Saving Appliances (LiSA) di seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia termasuklah pemasangan LiSA yang dirasmikan di Terengganu, baru-baru ini.

"Kita sudah mengenal pasti kawasan berisiko tinggi berlakunya kejadian lemas yang melebihi lima mangsa di tempat sama bagi tempoh tiga tahun di setiap negeri.

"Dengan adanya LiSA ini, ia boleh digunakan oleh orang awam dalam usaha penyelamatan mangsa ketika berlakunya kejadian lemas," katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Program Khidmat Bakti Bomba dan Kempen Keselamatan di Kampung Terian, di sini pada Sabtu.

Hadir merasmikan majlis berkenaan adalah Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib selain turut disaksikan Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda.

Terdahulu, turut dirasmikan Fire Point Kampung Terian bagi kemudahan penduduk setempat sekiranya berlakunya sebarang kebakaran di kampung terbabit.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai peti peralatan keselamatan LiSA, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya sebelum ini mengalami sedikit kesukaran untuk mengenal pasti lokasi sebenar kejadian lemas berikutan faktor fizikal sesuatu kawasan yang luas.

"Namun dengan adanya LiSA, kita hanya perlu pacak sahaja di lokasi berisiko dan ia secara automatik akan mengeluarkan bunyi amaran selain pada masa sama menghantar Navigator Global Positioning System (GPS) kepada balai bomba berhampiran.

"Lokasi GPS ini boleh dikenal pasti menerusi Google Maps dan bomba boleh memberi respon di lokasi yang tepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 12:17 PM