Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenalpasti sebanyak 47 lokasi panas atau 'hotspot' sebagai kawasan berisiko berlaku kes lemas sepanjang cuti perayaan Aidilfitri ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata tujuh daripada jumlah itu dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi manakala selebihnya dikategorikan berisiko sederhana.

Katanya, kebanyakan lokasi panas terbabit terletak di kawasan tali air, sungai, dan tasik manakala bagi tujuh kawasan berisiko tinggi kebanyakan darinya terletak di negeri Selangor dan Terengganu.

"Kebanyakan kes lemas di tali air adalah membabitkan kanak-kanak memandangkan ia sering terdapat di kawasan kampung (penempatan).

"Berdasarkan definisi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), 'hotspot' berisiko tinggi bererti kejadian lemas yang berlaku di situ tidak kurang daripada lima mangsa dalam tempoh tiga tahun," katanya dalam sidang media Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 JBPM Perak kepada 97 penerima di Ibu Pejabat JBPM Perak di Meru Raya, di sini, hari ini.

Turut Hadir Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman.

MOHAMAD Hamdan (dua kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Ketua Balai Bomba Meru Raya Penolong Penguasa Bomba, Sharudi Muhammad Halil (kanan) sambil diperhatikan Azmi hari ini. FOTO L.MANIMARAN
MOHAMAD Hamdan (dua kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Ketua Balai Bomba Meru Raya Penolong Penguasa Bomba, Sharudi Muhammad Halil (kanan) sambil diperhatikan Azmi hari ini. FOTO L.MANIMARAN

Mohammad Hamdan berkata, bagaimanapun kebanyakan kes lemas yang direkodkan adalah membabitkan orang luar yang berkunjung ke sesebuah tempat peranginan, berbanding mangsa yang berasal dari lokaliti itu sendiri.

Katanya, perkara itu berpunca daripada kegagalan mangsa yang berasal dari luar lokaliti itu, memahami mengenai selok-belok serta topografi kawasan itu.

"Orang luar biasanya tidak memahami topografi dan keadaan air di kawasan itu, kadangkala ada tempat pasir jerlus, tarikan air yang kuat, air pasang secara mengejut, kepala air, dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun 2021, kematian disebabkan kes lemas direkodkan empat kali ganda lebih tinggi daripada kes kematian kerana kebakaran apabila hanya 72 mangsa mati kerana kebakaran sementara hampir 400 maut kerana lemas.

Katanya lagi, JBPM sememangnya mengesan trend peningkatan kes yang diterima termasuk membabitkan kemalangan jalan raya serta kebakaran bermula dari seminggu sebelum hingga seminggu selepas sambutan perayaan Aidilfitri.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata pihaknya berhasrat menambah keanggotaan pasukan bomba bantuan (PBB) daripada golongan nelayan khusus bagi memantau aktiviti air di kawasan tumpuan ramai semasa musim perayaan.

Katanya, pada masa ini terdapat seramai 24 anggota PBB yang ditugaskan di empat lokasi iaitu Pantai Tok Bali dan Pantai Cahaya Bulan di Kelantan; Lumut, Perak; dan Pantai Besut, Terengganu yang masing-masing menempatkan enam anggota terdiri dari nelayan tempatan.

"Mereka ini dilantik sebagai pemerhati yang dibayar berdasarkan kepada jam perkhidmatan untuk 'menjaga' kawasan itu termasuk menasihati pengunjung jika aktiviti di situ tidak sesuai dengan waktu semasa, selain mengadakan rondaan secara sendiri khusus pada musim perayaan sahaja.

"Kita sememangnya bercadang akan menambah lagi pasukan ini di beberapa tempat lain namun ia bergantung kepada peruntukan kewangan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 11:05 PM