ASISTEN Komisioner Noor Dellhan Yahaya. FOTO arkib NSTP
ASISTEN Komisioner Noor Dellhan Yahaya. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis tidak menerima sebarang notis pemakluman bagi mengadakan himpunan 'Protes Mana Kapal LCS?' yang akan diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, esok.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya tidak menerima notis pemakluman seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang iaitu Akta Perhimpunan Aman 2012 setakat ini.

"Orang ramai dinasihatkan supaya menghormati dan mematuhi undang-undang. Jangan menyertai perhimpunan yang tidak mematuhi peraturan kerana tindakan boleh diambil.

"Pada masa sama, polis akan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, dua poster mengenai himpunan 'Protes Mana Kapal LCS?' tular selepas dimuat naik di media sosial, beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 4:55 PM